Meniarap
Selepas dapat mengawal pergerakan kepala dan sejurus sebelum (atau sekitar sama waktu dengan) mempelajari kaedah duduk tanpa bantuan, kebanyakan bayi belajar cara meniarap. Bayi yang sudah mahir meniarap boleh memusing dari keadaan terlentang ke meniarap dan sebaliknya.Ini adalah salah satu cara yang membolehkan bayi anda bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain. Ia selalunya didorong oleh keinginan untuk mencapai satu mainan yang berada di luar jangkauan, atau hanya untuk mendekati anda.
Bila ia berlaku
Ada bayi yang boleh memusing dari depan ke belakang seawal usia tiga bulan. Tetapi kebanyakan bayi memerlukan otot leher dan lengan yang lebih kuat untuk memusing ke arah bertentangan iaitu dari belakang ke depan. Ini hanya boleh dilakukan apabila mereka mencapai usia lima atau enam bulan.Bagaimana ia berkembang
Sekitar usia tiga bulan, apabila diletakkan meniarap di atas perutnya, bayi akan menaikkan kepala dan bahunya dengan menggunakan lengan sebagai sokongan. Tekan tubi mini ini membantunya menguatkan otot-otot yang diperlukan untuk meniarap. Pada tahap ini dia akan mengkagumkan anda (dan dirinya!) dengan memusing dari baring meniarap kepada terlentang, atau sebaliknya. (Walaupun bayi selalunya memusing dari depan ke belakang dahulu, adalah normal juga jika dia melakukannya mengikut arah yang bertentangan.)Pada usia lima bulan, bayi anda mungkin sudah boleh mengangkat kepala, menaikkan diri dengan lengan, melengkungkan badan untuk mengangkat dadanya dari lantai, dan mungkin juga berayun atas perutnya, menendang kaki, dan melambaikan tangannya. Kesemua aktiviti ini menolong otot-ototnya terus berkembang supaya apabila dia berusia lebih kurang enam bulan, dia sudah mahir memusing ke kedua-dua arah.
Sesetengah bayi tidak meniarap, sebaliknya melangkau tahap perkembangan ini dan terus duduk dan merangkak manakala sesetengah yang lain pula menggunakan pergerakan memusing dan menggolek diri sebagai kaedah pengangkutan darat yang utama. Selagi anak anda terus mendapat kemahiran baru dan menunjukkan minat untuk bergerak dan menjelajah persekitarannya, usahlah anda bimbang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar